Polis Kuala Lumpur tumpas 97 kes penipuan dalam talian, rampas lebih RM5 juta dan tahan 1,070 suspek dalam operasi banteras sindiket pusat panggilan haram.
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 97 kes penipuan dalam talian dan merampas lebih RM5 juta dalam operasi bersepadu sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata seramai 1,070 individu ditahan, terdiri daripada 600 warga tempatan dan 470 warga asing.
Polis turut merampas 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa.
Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur bersama JSJK Bukit Aman itu dijalankan bagi membanteras kegiatan penipuan pusat panggilan dalam talian.
Sindiket itu menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.
“Kesemua tangkapan dibuat di beberapa lokasi sekitar ibu negara membabitkan premis kediaman yang dijadikan pusat operasi sindiket secara haram,” katanya dalam kenyataan.
Wang tunai berjumlah RM5,067,818 turut dirampas dalam operasi tersebut.
Siasatan awal mendapati semua individu yang ditahan adalah pekerja sindiket.
Mereka terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk tawaran pekerjaan dan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
“Kesemua suspek telah didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian,” kata Fadil.
Warga asing turut didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan.
Polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras sindiket penipuan dalam talian sepenuhnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.








