JPA lancar Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 bagi hadapi negara tua, dengan warga emas dijangka 14% populasi menjelang 2048
KOTA BHARU: Golongan warga emas dijangka merangkumi kira-kira 14% daripada populasi Malaysia menjelang 2048.
Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Shahrim Hussin berkata kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 bagi menghadapi impak negara tua.
“Rangka tindakan ini menekankan enam bidang utama iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MyPesara 2025.
Beliau berkata rangka tindakan itu menjadi panduan JPA dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pesara.
Mohd Shahrim menekankan matlamat JPA adalah memastikan setiap pesara menerima manfaat dengan cepat dan cekap melalui pendigitalan proses pencen dan pemantapan data pesara.
Mengulas mengenai karnival dan majlis anugerah, beliau berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen JPA mendekati komuniti pesara secara lebih holistik.
“Karnival MyPesara membolehkan kami berhubung secara langsung dengan pesara di seluruh negara,” katanya.
Anugerah MyPesara 2025 merupakan anugerah pertama yang mengiktiraf pesara sektor awam dalam bidang Pendidikan, Khidmat Sosial dan Komuniti atau Keusahawanan.
Pemenang utama bagi Kategori Khidmat Sosial dan Komuniti ialah pengasas Min House Camp Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang membawa pulang wang tunai RM60,000.
Pengasas The Plot Dr Abas Mazni Othman memenangi kategori Keusahawanan manakala Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan diiktiraf dalam Kategori Pendidikan.
Karnival selama tiga hari itu menampilkan pelbagai aktiviti yang mempromosikan penuaan aktif dan kesejahteraan komuniti. – Bernama






