Inisiatif Rakan KKM tawarkan perkhidmatan ekonomi premium di Hospital Cyberjaya Disember ini untuk kekalkan pakar perubatan sektor awam.
KUALA LUMPUR: Inisiatif Rakan Kementerian Kesihatan (Rakan KKM) yang menawarkan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ kepada pesakit dijangka mula dilaksanakan di Hospital Cyberjaya bulan Disember ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menerusi inisiatif ini, pakar perubatan KKM boleh menawarkan prosedur khusus kepada pesakit sekali gus menambah kadar upah kepada mereka.
Beliau berkata langkah itu antara usaha kementerian untuk mengekalkan pakar perubatan KKM daripada berhijrah ke sektor perubatan swasta.
BACA: Belanjawan 2026: Peruntukan KKM naik kepada RM46.5 bilion
“Inisiatif game changer kita, Rakan KKM yang kita diharapkan pada Disember ini akan mula menyaksikan pakar-pakar kita melakukan prosedur khusus di fasiliti pertama di Cyberjaya,” katanya.
Dzulkefly menegaskan ini akan dapat meningkatkan gaji dan menambah pendapatan mereka.
“Itu antara cara kita memastikan mereka tak perlu tinggalkan kami dengan lakukan lokum di sektor swasta,” ujarnya selepas menghadiri sesi rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Di bawah inisiatif itu, pesakit yang memilih perkhidmatan Rakan KKM akan mendapat akses kepada mutu penjagaan klinikal setara di fasiliti KKM.
Mereka akan mendapat pilihan perkhidmatan tambahan atau ‘ekonomi premium’ pada kadar berpatutan.
Ini merangkumi penjagaan peribadi, peluang untuk memilih doktor mereka, dan privasi serta keselesaan tambahan.
Perkhidmatan bakal ditawarkan untuk perundingan pakar pesakit luar, prosedur harian elektif, pembedahan, dan kemasukan pesakit.
Dzulkefly berkata KKM sentiasa komited menjaga kebajikan petugas sektor kesihatan awam dengan melakukan penambaikan insentif.
Ini termasuk peningkatan 40 peratus tuntutan elaun tugas atas panggilan (ETAP) dalam Belanjawan 2026.
“KKM juga sedang melaksanakan penambahbaikan terhadap elaun kritikal sebagai usaha menaikkan pendapatan doktor pakar,” katanya.
Beliau menekankan ini supaya doktor tidak perlu melakukan locum di sektor swasta sekali gus mengelakkan pertambahan kos rawatan kepada pesakit.
“Saya akan terus pertahankan, memperjuangkan kebajikan khasnya pakar-pakar kami,” tegasnya.
Dzulkefly juga sudah memohon untuk pakar-pakar yang lama berkhidmat sebagai pakar perunding diberikan imbuan yang sewajarnya. – Bernama









