Perbadanan Stadium Malaysia pastikan kerja baik pulih bumbung Axiata Arena selesai, masalah kondensasi tahun lepas tidak akan berulang tahun ini.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan masalah bumbung bocor atau titisan air di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak akan berulang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM Ilyas Jamil berkata proses penggantian bumbung lama di venue berkenaan sudah siap sepenuhnya.
Beberapa ujian telah dijalankan menjelang kejohanan Terbuka Malaysia 2026 pada Selasa depan.
“Kerja-kerja baik pulih bumbung sudah selesai, cuma yang berlaku ketika Masters Malaysia tahun lepas, adalah disebabkan masalah kondensasi. Kita sudah ambil langkah sewajarnya untuk memastikan masalah tersebut tidak berulang,” katanya.
Beliau menambah ujian telah dilakukan beberapa minggu lepas dan masalah sama tidak dijangka berlaku tahun ini.
Pada tahun lepas, bumbung Axiata Arena bocor ketika saingan pusingan pertama Terbuka Malaysia 2025.
Kejadian itu menyebabkan titisan air masuk ke venue dan beberapa perlawanan terpaksa dihentikan seketika.
Masalah sama turut berlaku ketika saingan Masters Malaysia namun berpunca daripada masalah pemeluwapan.








