Suasana Krismas meriah di pusat beli-belah utama, dengan pengunjung tempatan dan pelancong menikmati hiasan dan membeli keperluan perayaan
KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Krismas semakin terasa di seluruh negara dengan pusat beli-belah menjadi tumpuan utama.
Pengunjung memanfaatkan hujung minggu untuk membeli kelengkapan perayaan seperti hiasan rumah, pakaian baharu dan hadiah.
Gedung membeli-belah utama dihiasi dengan dekorasi berwarna-warni bagi menambah kehangatan suasana.
Di Suria KLCC, pokok Krismas gergasi menjadi latar belakang popular untuk gambar kenangan pengunjung.
Pelancong dari United Kingdom, Liam Harrison, 34, berkata ini kali pertama dia menyaksikan persiapan Krismas yang meriah di Malaysia.
“Walaupun Malaysia negara yang majoriti penduduknya Islam, kehangatan suasana Krismas tetap dirasai,” kata pelancong dari Australia, Sarah Bannet, 38.
Di Pulau Pinang, pusat beli-belah di Bandar Sunway Seberang Jaya turut meriah dengan pelbagai promosi istimewa.
Pihak pengurusan mewujudkan ruangan khas bertema dunia fantasi untuk menarik pengunjung terutamanya kanak-kanak.
Di Sarawak, pusat beli-belah sekitar Kuching juga dipenuhi orang ramai yang membuat persiapan awal.
Petugas Sarawak Energy, Ollingga Lowance, 41, berkata persiapan awal memudahkan perancangan dan menjimatkan masa.
“Setiap tahun saya memang akan buat persiapan awal terutama membeli baju untuk anak-anak,” katanya.
Pekerja swasta Suzzy Ellyana Jeffery, 31, pula tertarik dengan promosi akhir tahun yang menawarkan harga berpatutan.
Di Sabah, penjawat awam Marryan Razan, 40, membuat persiapan secara sederhana dengan membeli sepasang pakaian baharu.
“Apa yang lebih menggembirakan saya ialah apabila dapat menyediakan hadiah Krismas kepada 20 orang anak saudara saya,” ujarnya.
Kerajaan Sabah akan menganjurkan sambutan Krismas peringkat negeri bertemakan “Hope For Peace In Love” pada 16 Dis ini. – Bernama







