Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menekankan keperluan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat Perlis diberi perhatian.
ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan diperkukuh.
Baginda menegaskan perkara itu penting bagi memastikan keperluan pembangunan negeri serta kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menitahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya mengadakan pertemuan dengan pegawai atau menteri berkaitan mengikut portfolio masing-masing.
Tujuannya adalah untuk mengutarakan pandangan serta keperluan bantuan demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
“Kalau kita asingkan, susah kita, Perlis ini kecil…kalau tidak, mereka (Kerajaan Pusat) tidak akan tahu apa kita perlukan. Kita minta hingga 10 (keperluan bantuan) pun tak apa, kalau dapat dua, Alhamdulillah…(kemudian) minta pula,” titah baginda.
Baginda menambah, “Perlis, kita perlu bantuan daripada orang, jangan kata kita megah… kita terimalah hakikat bahawa kita ini perlu bantuan.”
Titah itu disampaikan pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Arau hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menitahkan semua wakil rakyat di Perlis mengutamakan rakyat dan negeri melebihi kepentingan parti masing-masing.
“Tuan-tuan wakil rakyat, menjaga rakyat, rakyat tak kira parti apa pun, rakyat perlu bantuan, kita bagi bantuan, jangan ikut parti…kalau ikut parti rosak, utamakan rakyat lebih pada parti. Ini pesanan saya, jadi adil kepada rakyat,” titah baginda.
Empat ADUN Perlis dari Bersatu mengangkat sumpah sebagai Exco baharu di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.
Mereka ialah ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim, ADUN Sena Datin Marzita Mansor, ADUN Pauh Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak.
Pada 28 Dis lepas, Abu Bakar Hamzah yang juga ADUN Kuala Perlis telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kesembilan.
Pelantikan itu susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli secara sukarela atas faktor kesihatan.








