Polis Gombak tahan remaja 15 tahun disyaki ugut bunuh rakan sekolah berusia 14 tahun melalui panggilan video sambil tunjuk parang
GOMBAK: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap rakan sekolahnya.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata tangkapan dibuat semalam selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 14 tahun.
Siasatan mendapati pelajar Tingkatan Tiga itu membuat panggilan video kepada mangsa bagi meminta wang.
Remaja itu dipercayai membuat ugutan bunuh dengan menunjukkan sebilah parang semasa panggilan tersebut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata remaja terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. – Bernama







