the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, January 24, 2026
26.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Ringgit catat prestasi terbaik di Asia, bukti tadbir urus baik

PM Anwar kata prestasi ringgit antara terbaik di Asia hasil tadbir urus baik, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

BUKIT MERTAJAM: Prestasi ringgit kini berada antara yang terbaik di Asia, membuktikan keberkesanan dasar tadbir urus, kestabilan politik dan keyakinan pelabur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan nilai ringgit adalah hasil usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran cekap serta ketegasan membanteras rasuah.

“Ringgit mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan berbanding dengan negara-negara jiran tetapi seluruh Asia,” katanya pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir.

Beliau menambah usaha itu bermula dengan tadbir urus yang baik dan mengelakkan penyelewengan.

Pada Jumaat, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah 3.9992.

Kali terakhir ringgit berada pada paras itu adalah pada 18 Jun 2018 iaitu 3.9960/9990.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan ATM, PDRM dan agensi keselamatan lain amat penting dalam menjamin kestabilan negara.

Kestabilan itu menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

Beliau turut menegaskan kerajaan tetap bersikap tegas terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan, termasuk dalam perolehan aset pertahanan.

Bagaimanapun, katanya ia tidak sepatutnya menghakis kepercayaan terhadap keseluruhan institusi keselamatan negara.

Menyentuh soal kebajikan rakyat, Anwar berkata kerajaan telah meningkatkan peruntukan bantuan termasuk STR dan SARA dengan jumlah keseluruhan RM15 billion.

Kerajaan juga melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam melibatkan tambahan RM18 billion tahun ini.

Anwar menjelaskan hasil penyasaran subsidi serta usaha membanteras rasuah dan ketirisan membolehkan kerajaan menjimatkan sekali gus dapat meningkatkan peruntukan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan tidak mengenakan cukai baharu kepada golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan juga mengekalkan subsidi RON95 dan memastikan 85% rakyat tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Zarif Hashim menyerahkan surat lantikan kepada tujuh kontraktor bumiputera bagi Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara.

Mereka merupakan antara penerima 10 pakej kerja projek itu sejajar dengan Program Pembangunan Bumiputera yang dilaksanakan MRT Corp.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories