Setiausaha Negara AS Marco Rubio puji Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, saksikan perjanjian damai Kemboja-Thailand di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memuji kemampuan Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Beliau menegaskan ASEAN merupakan forum utama yang menjadi saluran penting bagi AS untuk berinteraksi dengan rantau ini.
“Kami menggunakan peluang daripada kepengerusian itu untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meredakan dan akhirnya menamatkan konflik antara Kemboja dan Thailand,” katanya kepada pemberita dalam perjalanan dari Qatar ke Kuala Lumpur.
Perjanjian damai mengenai gencatan senjata dijangka ditandatangani Ahad antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Majlis pemeteraian itu akan disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN serta Presiden AS Donald Trump.
Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terbaru mencetuskan konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu Phumtham Wechayachai.
Mesyuarat itu berjaya meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu dilihat secara meluas sebagai pencapaian besar ASEAN yang mengelakkan peningkatan konflik ketenteraan lebih serius.
Ia juga memastikan keselamatan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Filipina akan mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan. – Bernama










