Fahmi Fadzil kata sekatan sementara ke atas AI Grok di X hanya akan ditarik balik jika platform itu selesai isu kandungan mudarat sepenuhnya
KUALA LUMPUR: Sekatan sementara terhadap fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X hanya akan ditarik semula jika isu kandungan mudarat diselesaikan sepenuhnya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak X perlu membuktikan secara menyeluruh bahawa kandungan berbentuk video atau imej yang boleh disalahgunakan tidak lagi dihasilkan.
“Sekiranya mereka berjaya untuk menyahaktifkan dan tidak membolehkan penghasilan bahan-bahan yang dianggap online harm ataupun mudarat ini maka kerajaan akan menghentikan sekatan sementara ke atas Grok,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan ingin memastikan platform media sosial lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Bebas daripada penipuan, bebas daripada perkara-perkara seperti masalah Grok,” ujarnya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT) di sini hari ini.
Pada 11 Jan lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia.
Langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan berulang Grok untuk menjana kandungan lucah dan eksplisit.
MCMC juga mendapati kewujudan kandungan tidak senonoh serta imej manipulasi tanpa persetujuan yang membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata notis kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC sebelum sekatan dilaksanakan.
Beliau mengulas laporan bahawa aplikasi X telah menyahaktifkan beberapa prompt yang membolehkan penghasilan imej tidak sesuai melalui AI Grok.
Namun, MCMC memaklumkan tindakan itu masih belum menyeluruh.
Fahmi berkata kerajaan memilih pendekatan kerjasama melalui jalur perundangan dan kawal selia yang teratur.
Ini selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang akan dinasihati oleh Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian.
Jawatankuasa itu merangkumi pelbagai pihak termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia dan wakil agensi berkaitan.
“Jadi, proses itu saya lihat setelah kita menjalinkan hubungan dan perbincangan dengan platform… saya percaya cara ini lebih positif,” katanya.
Fahmi menegaskan kerajaan tidak berniat menyekat platform media sosial secara menyeluruh.
Sebaliknya, ia mahu memastikan platform tidak disalah guna untuk tujuan jenayah.
Beliau berkata kebimbangan terhadap penggunaan Grok bukan hanya disuarakan oleh Malaysia.
Ia turut dikongsi oleh negara lain termasuk Indonesia dan beberapa negara Eropah.
“Bila banyak negara menyatakan pendirian yang sama, pastinya ada sesuatu yang X perlu perhatikan,” katanya.
Fahmi menegaskan keperluan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan pencegahan penyalahgunaan platform digital.








