Tan Sri Johari Abdul beri amaran akan ambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang menghina penjawat awam ketika berbahas di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam ketika berbahas.
Beliau menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian tanpa mengira pihak kerajaan atau pembangkang.
Johari berkata wakil rakyat bebas mengkritik Jemaah Menteri termasuk menteri dan timbalan menteri dalam perbahasan.
Namun beliau menegaskan penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman atau penghinaan di dalam Dewan.
“Saya serius tentang hal ini.
Sesiapa pun, sama ada daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang, jika menghina penjawat awam, saya akan mengambil tindakan.”
“Anda boleh memberi komen tentang ahli politik, tetapi jangan sesekali menghina penjawat awam.”
“Jangan cabar saya.
Tolonglah… ada orang kutuk Ketua Setiausaha (KSU), ada orang mengata macam-macam perkara, jangan buat begitu,” katanya ketika menamatkan sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya memberi tumpuan kepada isu dasar ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 esok.
Johari menekankan agar wakil rakyat tidak mengaitkan pegawai kerajaan semasa mencelah atau bertanyakan soalan.
“Esok ialah waktu untuk menteri MITI menggulung.
Jika ada soalan mengenai Perjanjian ART, anda boleh bertanya kepada menteri esok.”
“Peringatan saya, anda boleh kritik menteri, anda boleh kritik timbalan menteri, tetapi jangan kaitkan penjawat awam.
Itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat menjadi kecoh ketika Tengku Zafrul memberikan penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat.
Menteri tersebut menolak dakwaan bahawa perjanjian itu menggadaikan kedaulatan negara sambil mempertahankan usaha pegawai kerajaan dalam rundingan.
Keadaan semakin tegang apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) cuba mencelah sebelum ditegur Johari.
Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan beliau tidak membenarkan sebarang celahan atau perbahasan bagi sesi penerangan tersebut.
Sebelum sesi penerangan bermula, Johari telah mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak mencelah atau berbahas sepanjang menteri memberikan penjelasan.
“Saya ingin berikan sedikit garis panduan.
Pertama, saya tidak benarkan celahan, biar menteri teruskan ucapan.”
“Kedua, saya tidak akan membenarkan perbahasan kerana kita ada giliran anggota pentadbiran termasuk menteri yang akan menggulung,” katanya. – Bernama
BACA:










