SPRM Kedah reman pengarah IPTA disyaki salah guna kuasa dengan melantik syarikat anaknya untuk bekalan kain batik bernilai RM16,000.
SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman seorang pengarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri itu.
Wanita itu disyaki menyalahgunakan kedudukannya dengan melantik syarikat milik anaknya bagi kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
Suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan semalam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.
Perintah reman sehingga 10 Januari dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu atas kapasiti sebagai pengerusi koperasi di IPTA itu pada Ogos 2024,” menurut sumber.
Pembekalan kain batik itu adalah bagi tujuan pembuatan baju batik untuk tenaga pengajar dan petugas institusi terbabit.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.








