SPRM siasat 26 syarikat dan pemiliknya berhubung tender perolehan Tentera Darat Malaysia, disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap 26 syarikat yang disyaki terlibat dalam tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Menurut sumber, kesemua pemilik syarikat berkenaan turut terlibat dalam siasatan dan kemungkinan direman bagi membantu siasatan.
“SPRM telah memulakan siasatan terhadap kesemua 26 syarikat tersebut kira-kira 11 pagi tadi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama.
SPRM pada 23 Disember lepas memulakan siasatan terhadap projek-projek yang dilaksanakan menerusi kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab TDM.
Keesokannya, agensi itu memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada 22 Disember lepas, aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa hasil semakan dokumen forensik diterimanya secara tanpa nama menunjukkan terdapat kemasukan wang secara bulanan dalam jumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun dikaitkan dengan pegawai kanan tentera dan ahli keluarga pegawai itu.








