SPRM sita aset bernilai RM9.7 juta termasuk rumah, tanah dan kereta mewah dalam siasatan kes penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernilai keseluruhan RM9.7 juta setakat ini.
Sitaan itu adalah sebahagian daripada siasatan kes penyelewengan dana pelaburan hampir RM300 juta yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar Tan Sri.
Menurut sumber, aset yang disita merangkumi enam rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah bernilai RM1.8 juta dan dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta.
Sebanyak 14 akaun bank juga turut disita bagi membantu siasatan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkembangan siasatan tersebut.
Beliau memaklumkan sehingga kini, sebanyak 10 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
“SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya.
Azam menegaskan SPRM komited untuk menyelesaikan siasatan yang melibatkan kepentingan awam itu dengan kadar segera.
SPRM dilaporkan membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan tersebut.
Dana hampir RM300 juta itu dipercayai dikutip antara 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur.
Siasatan awal mendapati dana yang dikutip telah diseleweng dan dibelanjakan bagi tujuan selain daripada yang dipersetujui.
Individu bergelar Tan Sri terbabit disyaki menggunakan kedudukan serta pengaruhnya untuk menarik minat pelabur.
Siasatan turut memfokuskan kepada jejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan.
Penglibatan Bahagian Analisa Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM diperlukan dalam siasatan ini.
Seorang Tan Sri berumur 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta ditahan pada Rabu lepas.
Beliau dibebaskan dengan jaminan pada tengah hari tadi.
Seorang individu wanita bergelar Datuk yang turut direman sebelum ini juga telah dibebaskan








