Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahan 17 pengarah syarikat disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 17 pengarah syarikat.
Mereka disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah.
Kesemua sembilan lelaki dan lapan wanita itu berusia antara 20 hingga 60-an.
Mereka ditahan antara 8.30 hingga 11.30 malam semalam di pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM), sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan TDM,” menurut kenyataan SPRM.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus mengesahkan penahanan tersebut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Pada 29 Disember lalu, SPRM telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya.
Siasatan itu berkaitan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada 23 Disember, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan.
Siasatan mereka memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.








