Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat skor 86% dalam penilaian kualiti padang FIFA, mengatasi ambang cemerlang 85% untuk permukaan semula jadi.
KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah menerima penarafan cemerlang daripada FIFA.
Penilaian di bawah FIFA Natural Playing Surfaces Quality Programme itu memberikan stadium utama skor 86%.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Iliyas Jamil berkata penarafan itu diterima minggu lepas selepas ujian kualiti padang dijalankan pada Oktober.
“Ini merupakan kali pertama kita melakukan penarafan FIFA selepas dicadangkan ahli lembaga pengarah PSM Datuk Windsor Paul,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata markah cemerlang perlu melebihi 85%.
Penarafan itu merupakan penghormatan kepada warga PSM yang memastikan kualiti padang terbaik meskipun pelbagai konsert diadakan.
“Kita berjaya memastikan rumput dalam keadaan yang baik dengan SOP yang kita bangunkan secara dalaman,” katanya.
Kepakaran menjaga permukaan padang itu pula adalah 100% tenaga tempatan.
PSM juga sudi berkongsi kepakaran tersebut dengan pihak yang memerlukan.








