Kerajaan mula salur STR Fasa 1 2026 kepada 5 juta penerima, termasuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memulakan penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 kepada lima juta penerima bermula hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu merangkumi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
Mereka akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan masing-masing.
“Penambahbaikan kepada STR, yang kini disepadukan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), memastikan golongan berkelayakan menerima bantuan yang lebih konsisten dan berkesinambungan dalam memenuhi keperluan asas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menjelaskan STR berfungsi sebagai bantuan tambahan suku tahunan untuk ruang kewangan pada waktu puncak seperti musim perayaan.
SARA pula berperanan sebagai sokongan asas bulanan yang stabil.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI giat memastikan setiap rakyat dapat hidup bermaruah tanpa ada yang terpinggir dalam mengharungi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” ujarnya.








