Seorang ibu didakwa di mahkamah kerana menganiaya anak perempuannya berusia lima tahun sehingga cedera parah di sebuah kondominium di Sentul
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya sehingga mengalami kecederaan fizikal pada anggota badan, minggu lepas.
Tertuduh, Norshazlina Izamli, 22, sebagai ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun 11 bulan ketika kejadian, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sentul Pelangi, Sentul dekat sini, kira-kira 5 petang, 2 Jan lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shafina Mohd Radzuan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung jaminan.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jan ini untuk sebutan semula kes.
Isnin lepas, media melaporkan polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun selepas menerima laporan berhubung kejadian dera itu pada 2 Jan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk kepala, telinga, mata, tangan dan kaki, selain kehilangan gigi hadapan, dipercayai akibat didera secara berterusan sejak dua minggu lepas.








