Bekas pemain import Kelantan FC serah diri kepada polis Thailand sebagai suspek kes tembak maut rakyat Malaysia di Sungai Golok
KOTA BHARU: Suspek kes tembak maut seorang rakyat Malaysia di pekan Sungai Golok, Narathiwat pada Sabtu lepas telah menyerah diri kepada polis Thailand semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya dimaklumkan secara tidak rasmi tentang penyerahan diri suspek berumur 31 tahun itu.
“Berkaitan suspek, setakat ini saya diberitahu secara tidak rasmi bahawa suspek terbabit telah menyerah diri kepada polis Thailand semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung penangkapan suspek tersebut.
Mohd Yusoff menjelaskan kes terbabit akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa Thailand memandangkan kejadian berlaku di wilayah itu.
“Suspek merupakan warganegara Thailand dan kejadian berlaku di wilayah Thailand,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, suspek pernah beraksi sebagai penjaga gol pasukan Kelantan FC pada tahun 2019.
Suspek tersebut juga pernah mewakili skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2014.
Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di pekan Sungai Golok, Narathiwat. – Bernama










