TEKUN Nasional komited perkasa PMKS, salur RM11.15 bilion pembiayaan, tingkat dana Bumiputera ke RM500 juta dan lancar moratorium banjir
KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) akan terus komited memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memacu pertumbuhan ekonomi rakyat.
Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid, menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan baharu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Beliau berkata kepimpinan Sim disokong strategi baharu dan penambahbaikan dasar pembiayaan akan menjadikan PMKS tulang belakang ekonomi negara.
“TEKUN Nasional menyokong sepenuhnya dasar pemerkasaan PMKS yang merentas semua kaum dan semua wilayah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Institusi itu akan terus membantu usahawan mikro dengan menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.
Sejak 1998 sehingga November 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan 866,476 pembiayaan bernilai RM11.15 bilion.
Bagi membantu usahawan terjejas banjir, moratorium pembiayaan sehingga enam bulan tanpa faedah akan diberikan.
“Moratorium ini sebagai langkah segera meringankan beban kewangan usahawan dan membolehkan mereka bangkit semula,” jelas Abdullah Sani.
Peruntukan Dana Pembiayaan Bumiputera di bawah TEKUN Nasional akan ditingkatkan daripada RM300 juta pada 2025 kepada RM500 juta pada 2026.
Pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) juga diperkukuh dengan peningkatan peruntukan daripada RM30 juta kepada RM50 juta. – Bernama








