Terengganu FC perkenalkan dua pemain import baharu dari Tajikistan, Mabatshoev Shervoni dan Ehsoni Panshanbe, bagi perkuat skuad hadapi baki musim
TERENGGANU FC (TFC) telah melengkapkan pemilikan dua pemain import baharu dari Tajikistan untuk mengharungi baki saingan musim 2025/2026.
Pemain sayap Mabatshoev Shervoni, 26, dan pemain tengah Ehsoni Panshanbe, 27, telah menandatangani kontrak setahun dengan kelab itu.
Kedua-dua pemain kebangsaan Tajikistan itu akan beraksi untuk skuad Penyu yang berpangkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, menyatakan kebanggaan dapat memperoleh khidmat dua pemain berbakat itu pada jendela perpindahan kedua.
“Shervoni yang meledakkan 13 gol daripada 39 penampilan bersama Regar TadAZ FC akan menyarung jersi 88 manakala penyertaan Panshanbe menggantikan Nurillo Tukhtasinov yang pulang ke Uzbekistan,” katanya.
Kehadiran mereka diharap dapat memperkukuh pasukan yang dilihat merosot prestasinya kebelakangan ini.
Pengalaman antarabangsa pemain itu juga dijangka membantu TFC mencapai sasaran menduduki kelompok empat teratas Liga Super.
TFC kini berada di tangga keliga liga dengan 21 mata daripada 14 perlawanan.
Keputusan ini menyusul tindakan kelab merehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali bulan lepas.
Pemain import Brazil, Gabriel Silva, juga telah ditamatkan kontrak lebih awal sebelum ini.








