Kerajaan negeri Terengganu menerima RM29 juta dari MOTAC untuk membaik pulih infrastruktur pulau dan pantai menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu menerima peruntukan RM29 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 2025.
Peruntukan itu adalah bagi membaik pulih infrastruktur serta kemudahan asas di pulau dan pantai di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata projek baik pulih itu sebagai persiapan untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menerima geran peruntukan sebanyak RM15 juta daripada MOTAC untuk tujuan sama pada 2026.
“Peruntukan itu diterima setelah kerajaan negeri mengemukakan permohonan,” katanya kepada pemberita selepas acara Sambutan di Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama sempena TMM 2026 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Razali berkata lebih 70% kerja infrastruktur dan kemudahan asas di pulau serta pantai telah disiapkan setakat ini.
Kerja-kerja tersebut termasuk pembaikan jeti usang di pulau peranginan.








