Kabinet putuskan tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya tahun depan, dengan kerajaan persekutuan akan menanggung kos implikasi kewangan.
KUALA LUMPUR: Kabinet telah memutuskan tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya untuk tahun 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata keputusan itu akan mendatangkan implikasi kewangan yang akan ditanggung oleh kerajaan.
“Perkara itu akan diperincikan oleh Kementerian Kerja Raya kelak,” katanya pada sidang media mingguan di Kompleks Angkasapuri.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan mempercepat kerja-kerja menyiapkan Pusat Kanser Sarawak.
Beliau berkata kerajaan persekutuan diminta menyegerakan proses penyiapan pusat kanser itu.
Kerajaan Sarawak bersetuju menambah peruntukan RM500 juta bagi pembelian peralatan perubatan untuk pusat tersebut.
Peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan projek mencecah RM1.5 bilion.
Pada Mac lalu, Anwar mengumumkan kerajaan persekutuan bersetuju melaksanakan pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.
Kerajaan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang mendahulukan dana bagi projek persekutuan bagi mempercepat pelaksanaannya.
Mengulas perkembangan banjir, Fahmi menasihati orang ramai mematuhi amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan mengenai luruan keempat Monsun Timur Laut.
Luruan itu dijangka membawa angin dan hujan lebat berterusan sehingga Mac 2026.








