KPDN sahkan tiada kes kekurangan isi padu RON95 dalam pemeriksaan 2,282 dispenser di 584 stesen minyak, semua patuh standard pengukuran
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada kesalahan melibatkan kekurangan isi padu minyak petrol RON95 dikesan dalam pemeriksaan terkini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pemeriksaan dijalankan susulan aduan pengguna mengenai kuantiti petrol selepas pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95.
“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan semua pam dispenser telah menjalani proses penentusahan dan tempohnya masih sah,” katanya dalam kenyataan.
KPDN membuat pemeriksaan rawak terhadap 2,282 dispenser RON95 di 584 stesen minyak pelbagai jenama dari 3 hingga 9 November lepas.
Stesen minyak yang diperiksa termasuk Stesen Minyak Utama, Stesen Minyak Mini, dan Stesen Minyak Mini Tanpa Jenama.
“Sepanjang operasi dijalankan, tiada kesalahan yang melibatkan kuantiti minyak RON95 di bawah ralat maksimum yang dibenarkan dikesan,” tegas Azman.
Beliau menegaskan KPDN komited memastikan ketepatan sukatan petrol RON95 sentiasa terjamin untuk melindungi pengguna.
Pemeriksaan berkala akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan pematuhan berterusan.
Tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat unsur manipulasi atau ketidakpatuhan mengikut peruntukan undang-undang.
Mana-mana individu yang didapati bersalah mengurangkan kuantiti kepada pengguna boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972.
Hukuman maksimum termasuk denda RM4,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Azman menegaskan perlindungan pengguna dan keadilan dalam urus niaga sentiasa menjadi keutamaan KPDN.
Pengguna yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di 019-8488000 atau 019-2794317.
Mereka juga boleh menggunakan portal e-aduan@kpdn.gov.my atau pusat panggilan di talian 1-800-886-800. – Bernama







