the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, November 25, 2025
26 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Tiada pengecualian cukai jualan untuk barangan import portal luar negara

Menteri Kewangan II pastikan tiada pengecualian cukai jualan untuk barangan import portal luar negara, LVG 10% wujudkan persaingan saksama

KUALA LUMPUR: Tiada pengecualian cukai jualan diberikan ke atas barangan yang diimport melalui portal luar negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan pengecualian cukai jualan hanya terpakai ke atas barangan yang disenaraikan di bawah Perintah Cukai Jualan (Barang Yang Dikecualikan Daripada Cukai Jualan) 2025.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG) mulai 1 Januari 2024 pada kadar 10 peratus bagi memastikan persaingan lebih seimbang.

“Pelaksanaan ini menutup jurang cukai sedia ada apabila barangan di bawah nilai tertentu yang diimport sebelum ini tidak dikenakan Cukai Jualan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Amir Hamzah menegaskan LVG memastikan semua barangan sama ada tempatan atau diimport dikenakan layanan cukai yang setara.

“Layanan level playing field itu memberi jaminan kepada peniaga tempatan bersaing secara adil berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai mekanisme pengutipan cukai daripada transaksi dalam talian yang melibatkan penjual luar negara.

Melalui pendekatan ini, kerajaan memastikan penjual tempatan tidak dibebani secara tidak adil.

Sementara itu, jumlah kutipan hasil daripada transaksi digital melalui Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital Luar Negara (SToDS) terus meningkat setiap tahun.

Kutipan mencatatkan RM802 juta pada 2021, RM999 juta (2022), RM1.15 bilion (2023) dan RM2.01 bilion termasuk LVG sebanyak RM476 juta (2024).

Amir Hamzah berkata SToDS kini dikenakan ke atas semua penyedia perkhidmatan asing yang memenuhi kriteria dalam menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna di Malaysia.

“Melalui mekanisme ini, penyedia perkhidmatan digital luar negara seperti Netflix, Apple, Microsoft, Google diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Mereka juga perlu memungut dan menyerahkan cukai perkhidmatan apabila perkhidmatan mereka digunakan oleh pelanggan di Malaysia.

Langkah ini memastikan penyedia perkhidmatan luar negara memikul tanggungjawab cukai yang setara dengan penyedia tempatan.

Ia juga mewujudkan persekitaran pasaran yang adil dalam ekosistem digital. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories