Tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine direman tujuh hari kes samun dan ragut warga emas 69 tahun di Nilam Puri, Kota Bharu.
KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30-an yang disyaki terlibat dalam kes samun dan ragut terhadap seorang wanita berusia 69 tahun di Nilam Puri.
Kejadian berlaku pada 8.15 pagi 1 November lalu ketika mangsa baru selesai membeli ikan dan sedang menunggu untuk melintas jalan.
Dua lelaki menaiki motosikal Honda EX5 tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum pembonceng turun dan menarik beg duit dari tangan mangsa.
Mangsa terjatuh di tepi jalan ketika cuba mendapatkan semula begnya dan mengalami kerugian RM50.
Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik motosikal berkenaan pada 7.53 malam 3 November lepas.
Siasatan lanjut terhadap suspek pertama membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian dijalankan.
Polis turut merampas beberapa barangan kes termasuk sebuah motosikal Honda EX5 yang digunakan semasa kejadian.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Bernama




                                    




