Dewan Rakyat bincang tindakan susulan Pulau Batu Puteh, RUU Antibuli 2025, dan belanjawan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
KUALA LUMPUR: Perancangan dan tindakan susulan kerajaan berhubung Pulau Batu Puteh antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengemukakan soalan kepada Menteri Luar mengenai isu tersebut.
Beliau bertanyakan mengenai langkah diplomatik, undang-undang dan rundingan dua hala dengan Singapura bagi memastikan kedaulatan serta kepentingan maritim negara terus terpelihara.
Soalan itu dibangkitkan pada sesi soal jawab lisan semasa sidang yang bermula pada pukul 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta Perdana Menteri menyatakan kesan sosial daripada pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan.
Beliau menekankan kesan terhadap masyarakat setempat terutamanya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.
Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai jumlah serta kadar bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut pendapatan bulanan peminjam.
Tiga rang undang-undang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Antibuli 2025, RUU Imigresen (Pindaan) 2025 dan RUU Pasport (Pindaan) 2025.
Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – Bernama







