Monday, October 27, 2025
29.4 C
Malaysia
spot_img

Trump meterai perjanjian perdagangan dengan Malaysia dan negara Asia lain

The Sun Webdesk

Presiden AS Donald Trump tandatangani perjanjian perdagangan dengan Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Thailand semasa lawatan diplomatik ke Asia.

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan lawatan pertama beliau ke Asia sebagai “momen menarik” manakala sejumlah besar perjanjian perdagangan yang dicapai dengan beberapa ekonomi Asia Tenggara berpotensi menjana hasil.

Trump, yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

Beliau juga dijangka menandatangani perjanjian yang sama di Jepun dan Korea Selatan, destinasi seterusnya selepas Sidang Kemuncak ASEAN.

Tidak lama selepas Trump tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, AS dan Malaysia menandatangani Perkongsian Strategik Komprehensif dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas, yang akan menaik taraf hubungan dua hala dan perdagangan.

Antara lain, perjanjian itu meliputi kerjasama yang lebih erat dalam bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, teknologi termaju serta keterjaminan tenaga.

Perjanjian tersebut turut merangkumi kerjasama untuk mempelbagaikan rantaian bekalan mineral penting global dan menggalakkan pelaburan.

Trump turut bertemu dengan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, dan Presiden AS itu dilaporkan berkata kedua-dua negara sewajarnya dapat mencapai perjanjian yang saling memberi manfaat.

AS juga memeterai perjanjian yang sama dengan Vietnam, Kemboja dan Thailand, sekali gus  menunjukkan langkah Washington untuk mempelbagaikan sumber dan mengurangkan penguasaan China dalam perlombongan dan pemprosesan nadir bumi.

Trump, yang akan melawat Jepun dan Korea Selatan selepas Malaysia, dijangka memeterai perjanjian untuk memperkukuh kerjasama ekonomi.

“Kami akan berada di sini malam ini, kemudian menuju ke sebuah lagi negara yang indah (Jepun) esok. Kami mempunyai beberapa perjanjian yang sangat baik dan menarik,” katanya selepas menandatangani perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

Pada hari berikutnya, delegasi beliau akan bertemu dengan Presiden China Xi Jinping, katanya merujuk kepada destinasi terakhir lawatan di Asia, iaitu Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan, minggu ini.

Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula, pegawai perdagangan AS dan China telah mengadakan rundingan di Kuala Lumpur untuk membincangkan mengenai perjanjian perdagangan dengan panjang lebar, menjelang kemungkinan pertemuan antara kedua-dua pemimpin di luar mesyuarat APEC. – Bernama

Related

spot_img

Latest

HKBU’s CLAP-TECH Report Urges Integration of VPET into Schools to Empower Students with Skills, Career Readiness, and Diverse Pathways

Led by HKBU and funded by The Hong Kong Jockey Club Charities Trust, the CLAP-TECH initiative showcases how Vocational and Professional Education and Training (VPET) empowers secondary students with practical skills, diverse pathways, and stronger career readiness.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img