the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 29, 2025
26.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

U Mobile sekat 265 juta panggilan, SMS penipuan setakat Disember 2025

U Mobile halang lebih 265 juta cubaan panggilan dan SMS penipuan di rangkaiannya menggunakan teknologi firewall Cellusys bagi melindungi pelanggan

KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd telah menyekat lebih 265 juta panggilan penipuan dan cubaan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu di seluruh negara setakat Disember 2025.

Inisiatif perlindungan menyeluruh merentasi rangkaian 4G dan 5G syarikat itu dikuasakan oleh teknologi tembok api (firewall) canggih daripada Cellusys.

Penyelesaian itu menyaring semua panggilan masuk dan SMS di peringkat rangkaian untuk menghalang komunikasi mencurigakan daripada sampai ke peranti pelanggan.

“Langkah penyelesaian berkenaan telah melindungi pelanggan U Mobile daripada panggilan penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa dan institusi, serangan pancingan data melalui SMS (smishing), identiti pemanggil palsu atau dimanipulasi, serta kempen jenayah berskala besar yang menyasarkan pengguna di Malaysia,” menurut kenyataan bersama U Mobile dan Cellusys.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata pelaksanaan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam melindungi pelanggan daripada aktiviti penipuan.

“Kami akan terus mempertingkatkan rangkaian kami melalui teknologi bagi melindungi pelanggan dengan lebih baik merangkumi perkhidmatan suara, pemesejan dan data,” katanya.

Beliau menekankan aspek keselamatan kekal sebagai keutamaan teras dalam pengembangan rangkaian 5G generasi baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cellusys Brendan Cleary berkata pelaksanaan oleh U Mobile menetapkan penanda aras bagi pencegahan penipuan di Malaysia dan serantau.

“Pelaksanaan ini membuktikan perkara yang boleh dicapai apabila pengendali memberi komitmen kepada pertahanan yang terbukti dan berfungsi dalam dunia sebenar, bukannya sekadar perancangan masa hadapan,” katanya.

Kajian Global Anti-Scam Alliance mendapati 73% rakyat Malaysia melaporkan pernah menerima panggilan penipuan atau SMS palsu.

Kadar itu antara yang tertinggi di Asia Tenggara dengan kumpulan jenayah semakin menyasarkan isi rumah, warga emas dan golongan rentan.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories