Vietnam sasar pertumbuhan ekonomi pesat dengan pembinaan ekonomi mampan dan inklusif melalui transformasi digital dan integrasi global.
KUALA LUMPUR: Vietnam menyasarkan pencapaian pertumbuhan ekonomi pesat sambil membina ekonomi yang mampan dan inklusif, menurut Perdana Menteri Pham Minh Chinh.
Beliau menyatakan negara memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi global dan peningkatan daya tahan melalui penyertaan lebih mampan dalam ekonomi antarabangsa.
“Kami ingin bermula dengan asas pemikiran yang betul memandangkan transformasi digital kini menjadi keperluan semasa, pilihan strategik dan keutamaan utama Vietnam,” katanya.
Beliau berkata pemikiran perlu konsisten dengan tindakan bagi mewujudkan asas yang boleh memperkukuh kesalinghubungan ekonomi Vietnam.
Ucapan tersebut disampaikan pada sesi Leader Fireside Chat yang dikendalikan Ahli Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN bagi Singapura, Rachel Eng sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025.
Chinh berkata di bawah kepimpinan Setiausaha Agung Vietnam’s Communist Party, To Lam, negara sedang memperkasakan kecekapan digital dalam kalangan rakyat.
“Setiap individu di Vietnam perlu meningkatkan kemahiran dan memperbaharui kemahiran dalam bidang transformasi digital bagi meraih manfaat proses tersebut,” jelasnya.
Beliau menekankan kemajuan datang daripada minda dan keinginan untuk melakukan perubahan.
Chinh juga menyeru ASEAN sebagai blok serantau supaya memperkukuh tadbir urus, institusi dan pembangunan kapasiti.
“Kita perlu berkongsi pengalaman, saling mempelajari dan bergerak seiring dalam proses pembangunan ini,” katanya.
Beliau menyatakan usaha ini akan membentuk kekuatan kolektif ASEAN untuk kemajuan serantau.
Sidang Kemuncak berprofil tinggi di bawah Kepengerusian Malaysia bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan.
Acara tersebut termasuk pemimpin dunia dan wakil daripada lebih 30 negara serta pertubuhan antarabangsa. – Bernama










