Tukang urut wanita dihukum penjara setahun kerana memuat naik sijil nikah palsu melibatkan kerabat diraja di TikTok, tukar pengakuan bersalah.
KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut wanita dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memuat naik hantaran video dan gambar sijil nikah palsu membabitkan dirinya dengan seorang kerabat diraja pada Februari lepas.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu selepas Persana Avril Sollunda yang berusia 43 tahun menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan tempoh penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Jun.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam sebuah video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun “king.charles.ratu”.
Video tersebut memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat untuk mengganggu orang lain pada 25 Februari.
Hantaran itu kemudian dibaca pada pukul 10 pagi 26 Februari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kesalahan itu boleh dihukum dengan denda maksimum 500,000 ringgit atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius dan mengganggu institusi diraja.
Beliau menyatakan perbuatan itu memberi kesan meluas kepada masyarakat kerana hantaran tersebut ditularkan orang ramai.
Beliau menekankan hukuman penjara perlu sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada orang ramai.
Peguam Datuk Noor Svetlana Mohd Noordin memohon hukuman sewajarnya dengan alasan wanita itu mengalami trauma kesan perkahwinan terdahulu.




 
                                    





