TAWAU: Sebanyak 15 daripada 58 klinik kesihatan daif di Sabah berjaya dinaik taraf sepenuhnya setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM21.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf 58 klinik kesihatan berkenaan.

“Sebanyak 43 klinik kesihatan lagi masih dalam kerja-kerja naik taraf, kita harap semuanya akan siap pada November ini,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANi Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat - Sabah Maju Jaya di sini hari ini.

Dzulkefly berkata 58 klinik kesihatan itu merupakan antara 70 klinik kesihatan daripada bangunan kayu di negeri ini yang mendapat perhatian kementeriannya.

“KKM telah memerhatikan 58 daripada 70 klinik kesihatan kayu ini, kita akan tangani kesemuanya dan teruskan pada 2025, kesemua usaha naik taraf ini melibatkan belanja RM31.6 juta,“ katanya.

Dzulkefly berkata Hospital Tawau dan Hospital Sandakan akan diangkat sebagai hospital negeri dengan taraf pakar major menjadikan tiga hospital seumpama itu di Sabah, dan naik taraf berkenaan sebagai usaha merapatkan jurang besar dari sudut fasiliti serta kepakaran.

Beliau berkata Hospital Tawau akan diserahkan kepada KKM pada Ogos ini.

Ketika berucap pada majlis berkenaan Dzulkefly berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun lepas melalui kajian KKM, didapati ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) secara senyap.

“Satu daripada dua rakyat kita adalah gemuk, satu daripada tiga rakyat kita ada kolestrol tinggi (33.3 peratus), satu daripada tiga rakyat kita ada darah tinggi (29.2 peratus), dan satu daripada enam rakyat kita ada kencing manis (15.6 peratus).

“Kebanyakan akibat dua sebab iaitu pemakanan yang tidak betul... tidak seimbang dan kedua kerana gaya hidup yang tidak sihat. Secara keseluruhan setiap satu daripada tujuh rakyat Malaysia menghadapi masalah buah pinggang kerana tiada pengesanan serta intervensi awal,“ katanya.

Menurut Dzulkefly kerajaan membelanjakan RM9.65 bilion setahun secara langsung untuk NCD manakala kos tidak langsung berjumlah RM12.9 bilion.

“Kesan terhadap ekonomi kita ialah RM22.5 bilion setahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar kita, boleh bayangkan berapa banyak jalan raya, rumah, bekalan air bersih yang dapat dibekalkan kepada Sabah jika tidak perlu menanggung penyakit yang boleh dicegah,“ katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Program MADANI Afiat serta Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat diadakan bagi mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit serta meningkatkan literasi kesihatan termasuk saringan kesihatan awal.

“Berdasarkan data saringan kesihatan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Sabah, terdapat peningkatan saringan iaitu 1,017,095 pada 2022 kepada 1,538,727 pada 2023 sekali gus menunjukkan tahap kesedaran di Sabah meningkat,“ katanya.

Open Two Websites with Image

Clickable Image