• 2025-07-16 09:20 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 156 Klinik Kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi dengan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS), dengan 70 peratus pesakit berjaya dilayan dalam tempoh kurang 30 minit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pencapaian ini adalah sebahagian daripada reformasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau turut memaklumkan bahawa fasa pertama sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) telah siap dilaksanakan, melibatkan lima juta preskripsi, 20 juta rekod vaksinasi, dan satu juta rekod pergigian.

“MySejahtera kini berkembang menjadi gerbang kesihatan pencegahan dan gerbang digital nasional,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dzulkefly turut mengumumkan bahawa KKM dan Google sedang meneroka kerjasama strategik untuk menggunakan AI dalam menangani cabaran kesihatan utama negara.

“Ia adalah langkah besar ke arah menjadikan Malaysia peneraju kesihatan digital berasaskan AI di rantau ini,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu kerjasama serantau dalam tadbir urus data kesihatan, penggunaan AI beretika, dan pembinaan kapasiti digital merentas sempadan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Jitu Asia 2025, yang dihadiri lebih 500 delegasi dari seluruh rantau, lapan pempamer teknologi, serta pemimpin kesihatan serantau.

“Kesihatan Awam Jitu bukan lagi konsep masa depan. Ia sedang kita laksanakan di Malaysia dan akan menjadi tonggak sistem kesihatan lebih mampan, saksama, dan berdaya saing,” tegasnya. – Bernama