• 2025-09-17 10:25 PM

IPOH: Sebanyak 18 rumah dan sebuah masjid mengalami kerosakan akibat ribut serta angin kencang yang melanda kawasan Pantai Remis, Manjung.

Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Manjung menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.56 pagi melalui aplikasi WhatsApp.

Kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam susulan hujan lebat dan angin kencang yang berterusan.

Anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 12.20 tengah hari dan tiba di Masjid Al-Aliah pada pukul 1.15 tengah hari.

Pemeriksaan mendapati beberapa bumbung masjid serta rumah penduduk di Taman Nelayan 2, Jalan Pengkalan Baru dan Kampung Cina rosak serta mengalami kebocoran.

Kebanyakan rumah kini dalam proses baik pulih bagi mengelak kerosakan bertambah buruk memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.

Kerja penyelenggaraan dan pembaikan segera perlu dilakukan berdasarkan faktor cuaca semasa.

APM Manjung akan terus mengemas kini laporan dari semasa ke semasa mengenai situasi tersebut. – Bernama