SUNGAI PETANI: Seramai 21 pekerja sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas mengalami gejala sesak nafas dan muntah dipercayai akibat terhidu gas ammonia, pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Bomba Johari Bar Azwar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebocoran bahan kimia di kilang terbabit pada 10.01 pagi tadi.

“Seramai 21 pekerja kilang terbabit mengalami sesak nafas dan muntah-muntah dan telah dibawa ke HSAH oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba.

“Pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech turut ke lokasi bagi membuat kerja-kerja mengenal pasti bahan dan membuat pengalihan bahan tersebut,“ katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan seorang pekerja pengsan dan 16 lagi rakan sekerjanya di kilang yang sama mengalami gejala pedih mata dan pening, dipercayai disebabkan oleh tumpahan bahan kimia petang semalam.