MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan 76 kes kebakaran berlaku di kawasan sekolah di seluruh negara sejak Januari lalu. Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad mendedahkan 60 peratus kes berpunca daripada faktor berkaitan elektrik.
“Sama ada disebabkan pendawaian, penggunaan peralatan elektrik atau rintangan kepada bekalan elektrik itu. Jadi tiga elemen ini menyumbang lebih kurang 60 peratus daripada punca yang berlaku,“ jelas Nor Hisham selepas Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai.
Beliau menekankan JBPM tidak mengkategorikan kejadian mengikut lokasi tertentu di sekolah tetapi melihat keseluruhan kawasan sebagai zon berisiko.
Sementara itu, JBPM sedang menggerakkan jentera berat ke empat lokasi kebakaran terbuka di Sarawak meliputi kawasan seluas 88 hektar. Operasi pemotongan garisan api dilaksanakan untuk mengawal penyebaran api, terutama di kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi.
Nor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar mengelak aktiviti pembakaran terbuka ketika musim panas. “Meskipun jumlah kes kebakaran terbuka tahun ini turun 50 peratus, kami bimbang dengan potensi kebakaran di kawasan gambut,“ tegasnya. - Bernama