SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mendengar taklimat perkembangan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di stesen MRT Woodlands North, di sini.

Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke lokasi menggunakan perkhidmatan MRT dari stesen MRT Springleaf, diiringi dua Menteri Pengiring iaitu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Turut sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar serta delegasi.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudiannya diberikan taklimat oleh Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat, mengenai perkembangan projek pembangunan RTS di pihak republik itu selain mengenai perkhidmatan MRT.

RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.

Sultan Ibrahim pada 22 Nov 2020 berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan.

Seri Paduka Baginda berdua berada di Singapura untuk lawatan negara dua hari ke republik itu.

Lawatan negara itu adalah yang pertama sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta pada 31 Jan lepas, dan atas jemputan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.