KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) mempergiatkan usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian berkata Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan agar tiada rakyat yang tertinggal dalam menerima bantuan yayasan itu.

“Oleh itu, kami sentiasa memberikan bantuan melibatkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk Komuniti Orang Asli.

“Malah, YSIJ sebelum ini telah menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada keluarga memerlukan di Melaka,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut catatan tersebut YSIJ telah menyampaikan sebanyak 11,254 bakul makanan kepada golongan memerlukan di pelbagai daerah termasuk masyarakat Orang Asli sejak awal tahun sehingga Ogos.

“Rakyat daripada pelbagai kaum, penempatan dan lapisan masyarakat menerima manfaat bantuan dalam meringankan beban mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” menurut catatan itu.

Hari ini, YSIJ meneruskan sumbangan bakul makanan kepada 150 keluarga di Mukim Pulai yang disampaikan Mohd Anizam.