• 2025-10-15 07:04 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan ahli perniagaan Datuk Seri R. Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnahnya terhadap penyanyi rap Caprice.

Hakim Roslan Mat Nor turut memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli membayar kos RM8,000 kepada Jeyenderan dalam tempoh dua minggu.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk pengurusan kes.

Mahkamah terdahulu mendengar hujahan peguam V. Muniandy, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa yang mewakili ahli perniagaan tersebut.

Peguam Muhammad Amar Shaaruddin pula mewakili Caprice dalam prosiding itu.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan injunksi ad-interim yang dimohon Jeyenderan terhadap Caprice.

Mahkamah memerintahkan defendan agar segera memadam semua hantaran berunsur fitnah terhadap plaintif daripada akaun Instagramnya yang dimuat naik pada Julai.

Injunksi ad interim merupakan perintah sementara yang diberikan oleh mahkamah sebelum perbicaraan penuh.

Permohonan injunksi inter-parte pula membolehkan mahkamah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Jeyenderan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan telah memfailkan saman itu pada 21 Julai lalu.

Beliau mendakwa defendan pada 10 Julai telah memuat naik beberapa hantaran di Instagram termasuk gambar serta video dirinya.

Hantaran tersebut didakwa mengaitkan beliau dengan aktiviti jenayah, gengsterisme dan ancaman bersenjata tanpa bukti yang sahih.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif berkata hantaran berunsur fitnah itu bertujuan menimbulkan syak wasangka, kebencian awam dan tekanan sosial terhadap dirinya.

Defendan didakwa tidak pernah menghubungi beliau atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan serius itu.

Jeyenderan mendakwa tindakan Caprice jelas menunjukkan niat mencemarkan nama baik serta reputasi beliau.

Beliau menyatakan penyanyi rap berkenaan memiliki pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.

Akibat hantaran itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim bertaraf global telah terjejas.

Beliau mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak sebagai penceramah utama di Dubai, Turki dan India.

Kontrak tersebut ditawarkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai.

Plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am serta teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah selanjutnya.

Plaintif juga memohon defendan memadam semua kandungan fitnah yang telah diterbitkan serta memohon maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau yang dikawal oleh defendan. – Bernama