• 2025-09-06 09:26 PM

GENEVA: Angka korban akibat gempa bumi yang melanda Afghanistan dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang berikutan gegaran susulan yang menyebabkan lebih banyak kemusnahan jalan raya dan tanah runtuh, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat, kata Ketua Delegasi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Afghanistan, Joy Singhal kepada Sputnik/RIA Novosti.

Singhal berkata kira-kira 40 pasukan perubatan dan penyelamat bergerak kini beroperasi di Afghanistan, manakala pihak berkuasa tempatan telah mengerahkan beberapa helikopter untuk memindahkan mangsa ke hospital berhampiran. Bagaimanapun, usaha itu masih tidak mencukupi untuk menangani krisis itu kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke semua lokasi yang terjejas.

Menurut beliau, akibat kekurangan dana, pasukan IFRC di Afghanistan terpaksa mengurangkan kakitangan dan membubarkan sebahagian sukarelawan. Singhal turut menggesa agar IFRC dibekalkan dengan kakitangan dan peralatan perubatan tambahan.

Isu itu bukan sahaja mengenai pemulihan pascagempa bumi tetapi juga mengenai kelayakan kawasan itu untuk terus didiami pada masa depan memandangkan kebanyakan keluarga telah kehilangan ternakan, sumber air minuman rosak dan rumah mereka musnah, katanya.

Singhal juga menggesa seluruh masyarakat antarabangsa untuk menyokong Afghanistan. Penduduk negara itu menghadapi masalah kekurangan zat makanan dan tahap ketakjaminan makanan yang serius sekali gus meningkatkan lagi kerentanan dan cabaran kepada petugas kemanusiaan, katanya.

Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan sekitar tengah malam pada 31 Ogos lepas dan ia disusuli dengan beberapa gegaran susulan. Pada Khamis, portal Ariana News melaporkan bahawa angka korban akibat gempa bumi di Afghanistan telah melebihi 2,200 orang, dengan lebih 3,600 lagi cedera- BERNAMA-SPUTNIK