PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memperkukuh pemahaman sejarah dalam kalangan golongan muda untuk memupuk minat terhadap sejarah negara dan meningkatkan semangat cinta akan negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa meskipun negara sedang menuju ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan, aspek sejarah perlu terus dititikberatkan agar generasi muda sentiasa berada di landasan betul.
“Cabaran kita ialah bagaimana membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu berkembang dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara.
Anwar menyarankan agar penerangan mengenai sejarah negara dibuat lebih aktif dan menarik dengan menyediakan bahan-bahan visual seperti risalah kecil dan gambar untuk meningkatkan minat golongan muda.
Beliau menegaskan bahawa golongan muda perlu dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk bahasa, budaya, agama dan kecerdasan buatan tanpa meninggalkan nilai-nilai berteraskan “amar makruf nahi mungkar”.
“Sejarah bukan semata-mata disiplin ilmu tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban yang perlu ditanam dalam kalangan generasi muda agar tidak terlepas landasan,” tambahnya.
Anwar menekankan konsep mencapai kemajuan teknologi sambil tetap mengakar kepada sejarah sebagai asas pembangunan negara.
Beliau juga menegaskan bahawa sejarah harus mendidik dari segi akhlak dan tidak lari daripada kebenaran serta ketelusan fakta sejarah.
“Tamadun tidak tertegak dengan teknologi semata-mata tetapi terbina melalui budaya, sejarah dan semestinya tamadun Malaysia yang kita dirikan,” jelasnya.
Mengenai peranan Majlis Sejarawan Negara, Anwar menyatakan bahawa majlis itu perlu berwacana dengan semua pihak dan memberikan nasihat kepada kerajaan untuk mempertingkatkan literasi sejarah.
“Tugas majlis ialah terus berwacana dengan semua pihak kemudian memberikan nasihat kepada kerajaan mengenai langkah-langkah perlu dilakukan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – Bernama