JOHOR BAHRU: Usahawan terjejas banjir baru-baru ini diminta merujuk kepada 12 agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan dan inisiatif dalam meringankan beban mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah.

Mohd Hairi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) berkata pihaknya melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) telah menggerakkan Misi Bantuan Khas untuk usahawan terlibat.

Beliau berkata antaranya ialah bantuan pembiayaan, kemudahan moratorium dan penggantian barangan perniagaan rosak akibat banjir.

“Bantuan disediakan kepada usahawan terjejas di bawah seliaan agensi MPUNJ termasuklah daripada Bank Negara Malaysia, Bank Rakyat, Jabatan Pertanian Negeri Johor, Majlis Amanah Rakyat, Bank Muamalat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan SME Bank.

“Agensi lain ialah Tekun Nasional, Perbadanan Nasional Bhd, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengumumkan bantuan RM500 bagi setiap peniaga terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dengan melibatkan 441 peniaga.

Selain itu, kerajaan negeri menerusi sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memberikan pengecualian kepada peniaga bazar Aidilfitri (pengecualian caj kecuali sewaan) dan bazar Ramadan (pengecualian semua caj PBT) yang memanfaatkan 9,839 peniaga di 180 lokasi.