PUTRAJAYA: Perkhidmatan bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa, dan aktiviti pemulihan mencatatkan nilai output kasar sebanyak RM18.9 bilion pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus berbanding 2015.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini menyebut aktiviti penakungan, perawatan dan bekalan air merekodkan nilai output kasar tertinggi sebanyak RM9.8 bilion, dengan sumbangan 51.7 peratus. Ini diikuti oleh pengumpulan sisa dengan nilai RM5.0 bilion, serta rawatan dan pelupusan sisa dengan nilai RM1.8 bilion.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan bekalan air; pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan melaporkan nilai input perantaraan sebanyak RM9.0 bilion pada 2022, dengan pertumbuhan tahunan 4.9 peratus berbanding RM6.4 bilion pada 2015.

Perkhidmatan bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa, dan aktiviti pemulihan merekodkan peningkatan bilangan pertubuhan daripada 790 pada 2015 kepada 1,008 pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5 peratus.

“Aktiviti pengumpulan sisa mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu sebanyak 695 pertubuhan atau 68.9 peratus diikuti oleh pemulihan semula bahan sebanyak 128 pertubuhan dan pembetungan sebanyak 77 pertubuhan,“ katanya.

Menurut DOSM bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan merekodkan bilangan pekerja seramai 59,535 orang bagi 2022 berbanding 49,162 orang pada 2015 dengan kadar pertumbuhan 2.8 peratus setahun.

Menurutnya, aktiviti penakungan, perawatan dan bekalan air mempunyai bilangan pekerja tertinggi iaitu 23,327 orang, diikuti oleh aktiviti pengumpulan sisa (21,944 orang) dan aktiviti pembetungan seramai 5,582 orang.

“Tiga aktiviti ini menyumbang lebih daripada separuh iaitu 85.5 peratus, kepada jumlah bilangan pekerja dalam perkhidmatan bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan,“ katanya.