Wednesday, November 12, 2025
22 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bekas perunding unit amanah didakwa tipu pelaburan lebih RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas perunding unit amanah didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu membabitkan pelaburan unit amanah berjumlah RM215,000, antara Julai 2021 dan Jun 2022.

Amran Mohd Amin, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.

Di hadapan Hakim Azrul, Amran didakwa atas dua pertuduhan secara tidak langsung melibatkan diri dalam penipuan terhadap dua individu mengenai suatu pelaburan oleh Kenanga Investors Berhad sehingga menyebabkan mangsa membeli cek bernilai RM130,000 dan RM65,000. Bagaimanapun, cek berkenaan didakwa digunakan oleh tertuduh untuk membeli unit amanah bagi dirinya sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kenanga Investors Berhad, Kenanga Tower di Jalan Tun Razak di sini antara 20 Julai 2021 dan 14 Feb 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norma, Amran menghadapi dua lagi pertuduhan bersama-sama bekas isterinya, Nadihah Nawi secara tidak langsung melibatkan diri dalam penipuan terhadap dua individu lain sehingga mangsa membeli cek masing-masing bernilai RM10,000 setiap seorang. Cek berkenaan didakwa digunakan tertuduh untuk membeli unit amanah dalam akaun Nadihah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 20 Jan dan 27 Jun 2022 mengikut Subseksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC) Kuala Lumpur. Sebutan kes ditetapkan pada 2 Okt ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SC, K. Mageswary dan Pegawai Pendakwa SC Adibah Saiful Bahri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 30 Julai lepas, Nadihah, bekas ejen unit amanah turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu berkaitan pembelian pelaburan unit amanah berjumlah RM20,000- BERNAMA

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

TE Capital Partners and Dash Living form joint venture to acquire prime residential asset in Minato Ward

TE Capital Partners and Dash Living have teamed up to acquire a premium residential property in Tokyo’s prestigious Minami Azabu area. The 10-storey building, to be branded as Dash Living Minami Azabu, will offer stylish, furnished apartments with excellent connectivity and modern amenities. This marks Dash Living’s largest asset in Japan and reinforces both companies’ confidence in Tokyo’s thriving residential market.
spot_img

Popular Categories