• 2025-10-10 08:13 PM

KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan ini semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Bantuan khas turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.

Bayaran bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena sambutan Aidilfitri.

Kerajaan juga menyediakan hampir RM2.2 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaiki kuarters penjawat awam.

Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah LPPSA akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji.

Kerajaan memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada kumpulan pengurusan dan profesional.

Pegawai yang berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun akan diberikan insentif khas bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan.

Elaun sara hidup RM900 sebulan disediakan untuk penerima Hadiah Latihan Persekutuan Separa Biasiswa mulai 2026.

Jumlah penerima HLP Separa Biasiswa ditingkatkan kepada 150 orang setahun berbanding 100 orang.

Gaji hakim akan dinaikkan sehingga 30 peratus mulai 1 Januari 2026.

Kadar Bantuan Sara Hidup kepada pesara kontrak KEMAS dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Sumbangan khas RM500 disalurkan kepada 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.

Bayaran khas RM500 juga diberikan kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia.

Semua anggota Jemaah Menteri akan terus membuat pemotongan gaji 20 peratus. – Bernama