KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menerima peruntukan RM25 juta di bawah Belanjawan 2026 untuk menumpukan usaha pendigitalan menyeluruh dalam urusan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agenda reformasi ini juga bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu.
Beliau menyatakan agenda reformasi yang digerakkan menerusi STAR telah berjaya menyelaras lebih 1,000 projek atau program.
Anwar menambah inisiatif ini turut menjimatkan kos pematuhan sehingga RM1.1 bilion.
“Pasukan STAR membuktikan pembaharuan tatakelola dapat dilaksanakan segera tanpa perlu melantik perunding luar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata antara sebab negara melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia adalah hasil usaha reformasi ini.
Beliau turut mengumumkan MyDigital ID menyasarkan 15 juta pengguna menjelang akhir tahun ini.
Anwar berkata inisiatif MyDigital ID akan diperluas ke sektor utama seperti kewangan, telekomunikasi, e-dagang dan kesihatan.
“Melalui kepakaran dalaman, Unit Govtech Malaysia diperkasakan untuk membangunkan lebih banyak aplikasi digital kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan Kiosk MADANI akan dibangunkan di semua negeri secara berperingkat.
Anwar berkata inisiatif Kiosk MADANI memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat.
“Tiga Kiosk MADANI telah ditempatkan di Lembah Klang dan dua lagi menyusul di Pulau Pinang dan Johor,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM76.6 juta untuk meningkatkan mutu prasarana Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Beliau berkata peruntukan ini bertujuan menjadikan UTC lebih mesra rakyat dan mudah diakses.
Anwar mengumumkan UTC ke-24 di Seberang Perai akan diluncurkan pada November ini.
Mengiktiraf peranan besar perkhidmatan luar negeri, beliau berkata kerajaan memastikan diplomat Malaysia di perantauan dibekalkan dengan pejabat kedutaan yang lengkap.
“RM31.5 juta disediakan untuk menyelenggara dan mengganti aset-aset kedutaan yang rosak, seperti di Pejabat Perwakilan Wellington dan Singapura,” katanya.
Anwar turut mengumumkan Ikhtiar Perkhidmatan Bergerak MADANI menerima lebih RM110 juta bagi memastikan masyarakat desa dan pedalaman mendapat perkhidmatan kerajaan secara terus.
Beliau memberi contoh penuntut universiti awam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan kejururawatan turun ke kampung-kampung memberi khidmat dukungan kepada rakyat.
“Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah dan Sarawak diperluas ke 19 kawasan baharu, termasuk Kampung Karamuak, Sabah dan Telang Usan, Sarawak,” katanya.
Anwar berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) menambah empat bank bergerak, menjadikan 20 unit bagi memudahkan rakyat pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak.
Beliau menyatakan inisiatif ini khususnya membantu lebih satu juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Mahkamah bergerak diperluas meliputi Mahkamah Buruh Bergerak dan Mahkamah Kanak-kanak Bergerak yang menyediakan bilik saksi mesra kanak-kanak,” katanya.
Anwar menambah kenderaan ubah suai turut disediakan sebagai bilik bicara serba lengkap untuk tujuan tersebut. – Bernama