• 2025-10-13 08:17 PM

PUTRAJAYA: Kelayakan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.

Siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa turut dinaikkan kepada 600 liter sebulan.

Kementerian Kewangan menyatakan langkah ini memperkukuh pelaksanaan sistem subsidi bersasar kerajaan.

Perluasan ke Sarawak melibatkan lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar berdasarkan data Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Bagi kategori pemandu e-hailing sepenuh masa, kenaikan siling melibatkan lebih 53,900 individu.

Lebih 11,400 pemegang lesen memandu baharu dan diperbaharui kini layak menerima manfaat BUDI95.

Keseluruhan lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menikmati subsidi bersasar tersebut.

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program berjalan lancar, telus dan memberi manfaat langsung.

Kementerian Kewangan bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan dan melaksanakan penambahbaikan.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim melalui portal rasmi BUDI MADANI.

Talian bantuan disediakan di 1-300-88-9595 dan WhatsApp +603-2631 4595.

Portal itu turut menyediakan semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID bagi jaminan keselamatan data. – Bernama