MELAKA: Kertas cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di Melaka akan dibentang dan dibincangkan dengan lebih teliti pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri berkaitan kesihatan awam memandangkan terdapat banyak kes penyakit berkaitan paru-paru yang terkait dengan penggunaan vape direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sejak akhir-akhir ini.
“Kita tengok semakin banyak kes kesihatan melibatkan vape ini. Jadi, kita perlu membawa isu ini ke peringkat mesyuarat MMKN agar satu keputusan dapat diambil bagi penjualan vape,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 dan Kembara Wellness On Wheel sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Ruzita Mustaffa.
Sementara itu Rais berkata pihaknya menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bertindak sejajar dengan keputusan yang diputuskan oleh MMKN berkaitan penjualan vape nanti.
“Kita tengok kerangka cadangan yang akan dibawa oleh JKN Melaka pada mesyuarat itu dan PBT akan melaksanakannya apabila tiba masanya kelak. Jika keputusan untuk mengharam (penjualan), kita akan ikuti sahaja,” katanya.
Beliau berkata setakat ini permohonan bagi permit penjualan vape dan penjualan vape yang sudah dilesenkan di Melaka agak tinggi.
“Bagi saya, apa yang lebih kita bimbangkan adalah peniaga yang berselindung di sebalik lesen penjualan alatan elektronik. Jadi, jika ada arahan untuk mengharamkan, kita akan lakukannya dan ia memudahkan dari aspek penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata bantuan daripada pihak pusat juga diperlukan khususnya aspek menyeragamkan peraturan atau pengharaman vape ini di seluruh negara.
“Bagaimanapun, kita akan melihat dari semua sudut termasuk usahawan dan kita mahu situasi menang-menang. Pada masa sama kita tetap mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan masyarakat,” katanya.