KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali ramai dengan nama panggilan Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Badrul Hisham juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang 22 Jan lepas, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, mengambil kira kesalahan yang dilakukan melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara (gag order) agar kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial sehingga kes selesai,“ katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak, selain memaklumkan bahawa jumlah jaminan RM20,000 yang ditawarkan pendakwaan agak tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Hasutan (RM5,000).

“Pihak kami bagaimanapun membantah perintah larangan bersuara kerana berpendapat ia adalah tidak berperlembagaan kerana rakyat perlu diberi kebebasan bersuara. Pihak pendakwaan juga tidak mengkhususkan perintah larangan yang dipohon,“ kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan, di samping menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu ketika sidang media di lobi mahkamah selepas prosiding, Badrul Hisham memaklumkan dia juga akan didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok di bawah Akta Hasutan, berkenaan hantaran di laman Facebooknya mengenai isu kasino di Forest City, Johor.