PUTRAJAYA: Sebarang acara atau program yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im membuat kenyataan berkenaan merujuk kepada program larian yang didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang di Johor.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang meminta Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Semua pihak diseru memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini. Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata program berkenaan bukan dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi menganjurkan acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri itu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar Fauziah Misri dilaporkan memohon agar pihak berkuasa menyiasat mengenai program berkenaan, yang difahamkan acara itu asalnya merupakan Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang dianjurkan sebuah persatuan.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan gambar-gambar yang tular didapati peserta program berkenaan berpakaian tidak sopan, malah ada yang separuh bogel dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT).

Terdahulu, tular video berdurasi tujuh saat dan beberapa gambar menerusi laman sosial memaparkan mengenai acara larian itu termasuk persembahan tarian di sebuah hotel di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Open Two Websites with Image

Clickable Image